Rabu, 25 November 2009

Kumpulan Wang Pemulihan Lombong Dan Pemulihan Bersama Disegerakan

PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri-negeri diminta menyegerakan penubuhan Kumpulan Wang Pemulihan Lombong dan Kumpulan Wang Pemulihan Bersama bagi memastikan kerja-kerja pemulihan lombong dan kawasan bekas lombong dapat dijalankan dengan lebih sempurna.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penubuhan kumpulan wang itu diperuntukkan di bawah Enakmen Mineral Negeri bagi memastikan pihak industri lebih komited dalam penjagaan alam sekitar.

Beliau berkata langkah-langkah itu juga bagi membolehkan kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan kerja pemulihan kawasan bekas lombong.

"Bekas-bekas lombong yang telah dipulihkan mempunyai pelbagai potensi untuk dimajukan dan menyumbang kepada kepesatan ekonomi negara seperti pembangunan perumahan rakyat, pertanian, taman rekreasi dan kolam tebatan banjir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-7 di sini Selasa.

Beliau berkata mesyuarat ini turut memutuskan untuk melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Mineral dan Pelan Induk Pembangunan Industri Kuari yang dihasilkan melalui rundingan dengan pihak yang berkepentingan dan penggerak industri berkenaan.

Muhyiddin berkata pelan itu antara lain memfokus kepada meningkatkan kesedaran kepentingan industri mineral, mengamal amalan terbaik industri, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan berasaskan mineral, menyediakan insentif yang kompetitif bagi menjana pelaburan industri mineral.

Katanya pelaksanaan pelan itu juga memberi penekanan terhadap pemuliharaan alam sekitar, menggalakkan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat setempat di mana kawasan lombong itu terletak.

Beliau berkata industri mineral negara menyumbang sebanyak 1.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM9.6 bilion setahun.

Bagaimanapun, katanya jumlah itu tidak termasuk kawasan lain yang belum diterokai kerana berdasarkan kajian yang dibuat, masih terdapat kawasan yang berpotensi untuk dilombong seperti emas, bijih timah, bahan batu, kuari dan sebagainya.

Katanya kawasan-kawasan itu ialah di Perak, Pahang, Sabah, Sarawak dan Kelantan yang belum dieksploitasi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata mesyuarat Majlis Perhutanan Negara (MPN) Ke-22 yang dipengerusikan beliau sebelum itu bersetuju agar kerajaan negeri menerima pakai kaedah Hutan Tadahan Air bagi menyelaraskan pengurusan dan pengawalan Hutan Tadahan Air dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal.

Katanya mesyuarat juga bersetuju ke atas Rang Undang-Undang Enakmen Industri Berasas Kayu (Pindaan) 2009 yang bertujuan untuk memperkemaskan aspek perundangan industri berasaskan kayu (IBK).

Beliau berkata ia sejajar dengan keperluan semasa bagi memantapkan lagi aktiviti penguatkuasaan dalam membanteras IBK haram dan kesalahan IBK yang lain.



-- BERNAMA