Sabtu, 24 Mac 2012

Dasar Sumber Air Negara 2010-2050

Dasar Sumber Air Negara 2010-2050 Pastikan Bekalan Air Terjamin: Muhyiddin

PARIT BUNTAR: Dasar Sumber Air Negara (DSAN) bagi tempoh 2010 hingga 2050 dalam menentukan hala tuju masa depan untuk sektor sumber air berdasarkan kajian semula sumber air negara dilancarkan pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu berkata DSAN merupakan usaha penting bagi memastikan bekalan air negara terjamin dalam era pembangunan ekonomi khususnya sektor pertanian dan perindustrian, pertumbuhan perbandaran serta pertambahan penduduk yang pesat.

"Dasar ini juga menetapkan prinsip asas sumber air negara yang menyentuh isu 'Air untuk Makanan dan Pembangunan Luar Bandar' dengan jelas. Prinsip ini menekankan tentang perlunya sumber air yang mencukupi untuk jaminan bekalan makanan di samping membantu menaik taraf pembangunan kawasan luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada perasmian sambutan Hari Air Sedunia 2012 peringkat kebangsaan dan pelancaran DSAN di pinggiran Dataran Sungai Kerian di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Timbalan Perdana Menteri berharap langkah strategik bagi mengenal pasti dan menambah sumber air negara lebih dipergiatkan antaranya sumber air alternatif yang dikenal pasti mempunyai potensi menampung permintaan air di Malaysia adalah sumber air bawah tanah.

"Laporan awal oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mendapati isipadu air tanah yang tersimpan di Malaysia dianggarkan berjumlah 5,000 bilion meter padu yang mempunyai nilai komersial sebanyak RM7.5 trilion," katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia berkata beliau berharap kajian dan pembangunan sistematik serta menyeluruh terhadap sumber air bawah tanah, selaras dengan kaedah pengurusan air bersepadu dapat dipertingkatkan bagi membantu merealisasikan jaminan bekalan air seterusnya jaminan bekalan makanan di negara ini pada masa hadapan.

Katanya masalah jaminan bekalan makanan menjadi semakin rumit disebabkan sumber alam semulajadi seperti air yang semakin terhad.

Persaingan guna air juga semakin meningkat dengan sektor ekonomi dan industri lain serta dunia juga berhadapan dengan impak daripada perubahan iklim yang akan mengakibatkan kemarau di sesetengah negara dan banjir di negara yang lain, katanya.

Beliau berkata krisis bekalan dan harga makanan pada tahun 2008 telah meningkatkan lagi kesedaran banyak negara termasuk Malaysia untuk memantapkan lagi jaminan bekalan makanan khususnya bagi menampung permintaan dalam negara demi pembangunan dan kesejahteraan negara.

"Susulan daripada usaha meningkatkan bekalan makanan negara, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM544.3 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-10 sebagai komitmen dalam pembangunan punca air untuk pertanian khususnya bagi tempoh 2011 hingga 2015".

Malaysia merupakan sebuah negara yang sememangnya bertuah kerana dianugerahkan Tuhan dengan limpahan air bersih yang cukup untuk kegunaan bekalan air, industri, pertanian, perladangan dan aktiviti ekonomi yang lain, katanya.

Bagaimanapun, katanya jika anugerah itu tidak dijaga serta diurus dengan baik, ia akan membawa kesan negatif kepada negara serta jika negara tidak merancang untuk menyediakan infrastruktur air yang secukupnya, negara kemungkinan besar berhadapan dengan masalah kekurangan air.

Muhyiddin juga menggesa semua pihak terlibat dalam industri air sama ada di peringkat persekutuan atau negeri untuk berusaha memastikan kelangsungan bekalan air.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata penduduk yang tinggal sekitar Kerian akan mendapat faedah besar ekoran kerajaan telah meluluskan peruntukan RM490 juta bagi projek tebatan banjir Lembangan Sungai Kerian.

Projek itu melibatkan kerja-kerja utama pembinaan benteng sungai sepanjang 300 kilometer dan rumah-rumah pam yang turut membawa manfaat besar kepada rakyat di tiga buah negeri - Perak, Kedah dan Pulau Pinang, katanya.-BERNAMA

Jumaat, 2 Mac 2012

Bijih besi sumber pendapatan baru Kedah


1 Mac 2012: Kerajaan negeri Kedah melalui syarikat milik penuhnya, Permodalan Kedah Berhad (PKB), sedang giat meneroka hasil bumi secara usahasama dengan syarikat swasta untuk dijadikan sumber pendapatannya yang baru.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata aktiviti terbaru PKB ialah mengusahakan lombong bijih besi dengan Nacstone Mining Worlwide (M) Sdn Bhd, di tapak seluas 26.091 hektar berhampiran Gunung Jerai di Gurun, yang dijangka memberi hasil sebanyak RM10 juta setahun.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan kerja ke tapak lombong itu hari ini, Azizan berkata kerajaan negeri menerima royati sebanyak lima peratus daripada nilai bijeh besi yang dieksport, tidak termasuk keuntungan yang diperoleh PKB melalui usaha sama itu.

Menurutnya tapak tersebut diangggarkan mengandungi lebih satu juta metrik tan bijeh besi manakala satu tapak lagi seluas 42 hektar bersebelahannya, hanya menunggu kelulusan Jabatan Mineral dan Geosains, untuk dilombong.

Dalam tempoh tiga bulan lombong itu beroperasi, sebanyak tiga kapal muatan bijih besi itu telah di eksport ke China, kata Azizan.

Beliau berkata beberapa tapak lain juga telah dikenal pasti mengandungi bahan galian bernilai seperti kuartz di Bukit Kachi, Sintok, yang masih dalam proses kajian dan sudah ada pengusaha yang berminat melombongnya.

- Bernama