Jumaat, 27 Jun 2008

Saya Yang Menurut Perintah

Bagi kakitangan perkhidmatan awam, ungkapan "Saya Yang Menurut Perintah" aka SYMP merupakan sesuatu yang biasa ditulis terutamanya sebelum mereka menandatangani surat rasmi yang dihantar kepada sesiapa. Aku pun tak tahu siapa yang memulakan ungkapan ini. Ada yang kata ia wujud sejak zaman penjajah lagi, dulu "Your Obedient Servant". Maka kita ini mewarisi sikap penjajah lah. Ikut sahaja macam kerbau dicucuk hidung. Perkara ini nampaknya terpakai dalam organisasi aku juga. Boss is always right, if your boss is wrong, look at the first one...which is, your boss is always right.
Itu yang aku kata macam kerbau kena cucuk hidung tadi tu. Ada kawan-kawan yang rasa malu sendiri, bila menghadiri mesyuarat di luar pejabat, kadang-kadang kita jumpa semula kawan-kawan dari jabatan lain yang sama-sama kursus induksi. Mula-mula seronoklah juga dapat jumpa kawan lama, cerita punya cerita rupa-rupanya dia dah gred 48, ada yang dah gred 52. Tempoh perkhidmatan sama dengan kita. Lepas tu kita pun rasa segan nak bercakap banyak sebab kita masih gred 41 selepas 13 tahun berkhidmat. Bila difikir-fikirkan, teruk sangat jabatan aku ni. Struktur organisasinya ke yang teruk atau orang-orang yang di atas tu yang teruk? Mereka ni tak fikir ke kebajikan anak buah mereka ni.
Bagi pegawai PTD, bab-bab naik pangkat ni mereka bijak. Bijak mencari peluang walaupun pengalaman setengah masak. Skill memang bagus tetapi sesetengah tu terlalu muda dah naik gred 48. Nak baca lanjut tentang mereka ni, baca di sini. Jadi berbalik kepada isu di jabatan aku ni, sampai bila sanggup SYMP???...Entahlah.

Khamis, 26 Jun 2008

Rang Undang-Undang Ahli Geologi 2008



Rang Undang-Undang Ahli Geologi 2008 sedang dibaca buat kali kedua di Dewan Rakyat. Menteri NRE, YB Datuk Douglas Uggah Embas melaksanakan tugasnya dengan baik. Berikut adalah isi kandungan berita berkaitan pembentangan rang undang-undang tersebut sebagaimana yang disiarkan di Utusan Online.

"Rang undang-undang ahli geologi

KUALA LUMPUR 24 Jun - Rang Undang- undang Geologi 2008, yang bertujuan menubuhkan sebuah lembaga untuk mendaftar ahli geologi tempatan serta mengawal selia profesion ahli geologi di negara ini, adalah untuk memastikan hanya ahli geologi berkelayakan mengesahkan sesuatu laporan geologi.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, rang undang undang itu akan dapat memastikan hanya individu yang berkelayakan dan berpengalaman dibenar untuk memberi tafsiran dan ulasan yang kritikal berhubung perkara geologi.

"Ketiadaan satu akta untuk mengawal selia profesion ahli geologi di Malaysia buat masa ini menyukarkan pihak tertentu untuk menentukan pihak yang bertanggungjawab bagi kerja-kerja geologi termasuk untuk menyedia dan menandatangani sesuatu laporan geologi.

"Keadaan ini boleh menyebabkan orang yang tidak berkelayakkan dalam bidang ini memberi perkhidmatan dan melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dibuat oleh ahli geologi profesional," katanya semasa membentangkan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja geologi oleh seseorang yang tidak berkelayakan dan tidak berdaftar boleh membawa kesan negatif terhadap sumber dan ekonomi negara serta menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan kerosakan kepada harta benda mereka.

Uggah berkata lembaga ahli geologi yang akan ditubuhkan itu turut berfungsi untuk mendengar dan menentukan pertikaian berhubung etika dan kelakuan profesional profesion geologi.

"Lembaga ini juga boleh memeriksa dan jika difikirkan perlu membuat laporan tentang apa-apa perkara yang dikemukakan dan membuat syor kepada kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkaitan selain menimbang dan mengesyorkan pembaharuan kepada undang-undang yang berhubung dengan geologi," katanya.

Beliau berkata keanggotaan lembaga ahli geologi akan dilantik oleh menteri, dan terdiri daripada seorang pengerusi, seorang wakil Institut Geologi Malaysia, lima orang ahli geologi profesional berdaftar dalam perkhidmatan awam, lima orang ahli geologi profesional berdaftar yang menjalankan amalan persendirian atau dalam pengajian selain daripada perkhidmatan awam dan dua orang pada pendapat menteri yang dapat menyumbang kepada profesion geologi.

- Bernama"

Mari para geologist sekalian berdoa, moga-moga kita menang dalam percubaan ini setelah 15 tahun.

Kali Pertama

Melakukan satu kerja buat kali pertama memang sesuatu yang adakalanya menggembirakan dan ada kalanya menggusarkan. Kerana tindakan kali pertama ini biasanya akan memberi isyarat akan apakah tindakan-tindakan yang selanjutnya yang bakal berlaku. Seperti menulis di blog ini buat kali pertama. Tujuan mengadakan blog ini adalah sebagai wadah bagi para geologist Malaysia yang ingin menyumbang kepada kesejahteraan dan kemajuan negara tercinta. Blog ini akan mengutarakan isu-isu berkaitan geologi, masa depan para geologist profesional, masalah, kritikan-kritikan dan cadangan pembaikan terhadap organisasi yang mana tujuan akhirnya adalah untuk melihat organisasi dan warga geologist Malaysia ini berada di landasan yang betul untuk membawa organisasi ke satu kedudukan di puncak kecemerlangan dan kegemilangan setanding dengan yang terbaik di dunia. Hebat bukan?
Blog ini diuruskan oleh beberapa orang geologist abadi yang sentiasa peka dan perihatin terhadap organisasi ini. Walau bagaimanapun, segala yang tertulis di sini merupakan satu manifestasi dalaman fikiran penyumbang berdasarkan keintelektualan masing-masing. Barangkali terdapat pendapat yang bersifat peribadi. Jadi kita sama-samalah mengambil yang baik dan membuang jauh mana-mana yang difikirkan tidak relevan dan bersifat sampah.