Selasa, 11 November 2008

Kalkulator Tanah Runtuh

Prof. Dr Roslan (kanan) bersama Badiah Sujak menunjukkan carta ukuran tahap risiko tanah runtuh di Shah Alam semalam.

Kalkulator tanah runtuh - Mampu ramal kejadian tanah runtuh lebih cepat
Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF
SHAH ALAM - Percaya atau tidak, sejenis mesin kira-kira sama seperti seunit kalkulator yang mampu meramal kejadian tanah runtuh di sesebuah kawasan cerun dengan lebih cepat kini direka. Bunyinya pelik, namun alat canggih itu sedang dicipta Pusat Penyelidikan Pencegahan Bencana Antarabangsa (IRCDIP), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Alat khas yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan tersebut adalah hasil kejayaan IRCDIP mencipta alat meramal kejadian tanah runtuh yang dikenali alat Carta RS.
Pengarah IRCDIP, Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, kalkulator khas itu merupakan kesinambungan penyelidikan dan pembangunan alat Carta RS yang bakal diaplikasikan dalam alat khas tersebut. Jelasnya, ia akan memudahkan kerja-kerja analisis atau mengira data taburan hujan dan jenis tanah di sesuatu kawasan yang dikutip dengan cepat berbanding kaedah manual sebelum ini.
"Kalkulator ini mirip mesin kira-kira biasa, tapi ia sebenarnya luar biasa kerana dilengkapi perisian alat Carta RS yang dimuatkan ke dalam alat khas ini bagi memperoleh keputusan ramalan tanah runtuh. "Kita sudah ada perisiannya, cuma buat masa ini kita sedang mencari syarikat yang berminat untuk memasang cip khas pada kalkulator," katanya kepada pemberita di ibu pejabatnya di UiTM, Seksyen 7 di sini semalam. Sebelum ini, IRCDIP yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Tanah Runtuh Negara UiTM, berjaya mencipta alat Carta RS yang mampu meramal kejadian tanah runtuh di sesebuah kawasan cerun dengan lebih tepat.

Tiada ulasan: