Rabu, 16 Julai 2008

PAS Mahu Ahli Geologi Berperanan Lebih Efisyen

Silalah baca komen dari ahli politik pembangkang yang saya rasa pertama kali didengar. Berita sumbangan HA.

Dipetik dari Laman Web ini:

KUALA LUMPUR, 26 Jun - Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berkata peranan sebagai ahli geologi dapat dimartabatkan selepas Rang Undang-Undang Ahli Geologi diluluskan supaya golongan ini dapat berperanan lebih efisien sebagaimana ahli profesional yang lain. Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.
"Kepakaran mereka untuk mempastikan rakyat dan negara mendapat manfaat serta langkah-langkah aktif mengesan pergerakan kerak bumi, arus udara serta perubahan alam , sudah pasti kita akan mengiktiraf kepakaran mereka.
"Dalam dekat ini kita dikejutkan dengan tsunami yang menunjukkan berlaku perubahan pada kerak bumi. Selepas itu kita juga mendapati di Malaysia, mengikut kajian yang dibuat ahli geologi, Malaysia tidak termasuk dalam rangkaian gunung berapi dan terselamat daripada lingkaran gempa bumi,"katanya.
Katanya, gempa bumi kecil yang berlaku di Sumaterapada akhir 2004 telah menyebabkan berlaku gempa bumi kecil yang kesannya turut dirasai di Malaysia,menunjukkan satu isyarat baru bahawa ahli geologi harus memainkan peranan dan memberi maklumat kepada negara dalam aspek keselamatan.
Sementara itu Salahuddin turut mempersoalkan apakah ahli geologi dapat membantu dalam memberi maklumat terhadap perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangasa (ICJ) tentang pemilikan Pulau Batu Putih.
"Melalui maklumat yang saya perolehi, apa juga rupa bumi yang keluasannya tidak sampai satu kilometer, maka asas-asas atau plak bumi itu mesti diambil kira. Apabila kita memerhati keadaan Pulau Batu Putih dengan Terumbu Karang Tengah, jaraknya sangat hampir.
"Apakah pandangan ahli geologi ini diambil kira jika faktor keluasan muka bumi di lautan tidak sampai satu kilometer itu membuktikan bahawa Pulau Batu Putih dan Terumbu Karang Tengah merupakan suatu kumpulan batu yang hak miliknya juga mesti diambil kira,"katanya.
Sehubungan itu beliau mengharapkan menteri berkaitan dapat menjelaskan adakah pandangan ahli geologi diambil kira semasa perbicaraan tersebut.
Salahuddin turut melahirkan kekesalan kerana kerajaan tidak memberikan ruang pekerjaan kepada graduan Diploma Kejuruteraan Petroleum dan Ijazah Kejuruteraan Petroleum pada 1984 di sebuah universiti tempatan sedangkan pada waktu itu kerajaan dalam dekad ke dua menghasilkan petroleum.
Sementara itu, beliau juga mengharapkan kerajaan dapat menjelaskan adakah jaminan kepada bakal graduan yang sedang mendalami bidang geologi ini.
"Adakah kita sudah fikir untuk 'memasarkan' graduan dalam bidang geologi ini dalam pasaran yang lebih kompetitif pada masa akan datang? Terdapat juga rungutan ahli-ahli geologi yang berkhidmat dengan Petronas yang mana ramai di kalangan mereka yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat minyak asing yang berminat untuk menggunakan kepakaran mereka.
"Adakah kita mempunyai sumber tenaga yang cukup sekiranya mereka berpindah kepada syarikat minyak asing. Apakah langkah yang dilakukan oleh kementerian bagi mengatasi perkara ini?"soalnya.

Tiada ulasan: